XBB.TV Inovasi Anak Tempatan
Majalah PC
4th March 2005

XBB TV, saluran TV dalam talian pertama di Malaysia merupakan inovasi anak tempatan yang bakal menyaingi saluran-saluran TV berbayar sedia ada. Ia dilancarkan oleh CUZZY Advanced Convergence Laboratories Sdn Bhd (Cuzzy), syarikat tempatan yang telah melabur hamper RM4juta dan kajian selama tujuh tahun bagi menjadikan XBB.TV satu reality.

Dengan kad prabayar bernilai RM88, anda mendapat akses ke XBB.TV dan dihidangkan dengan 20 kategori saluran merangkumi berita, pendidikan, hobi, mencari jodoh,pelancongan,fesyen, hiburan dan gaya hidup. Ia membuka lembaran baru kepada rakyat Malaysia yang sentiasa bergerak dan tidak mempunyai masa untuk menghadap tv sepanjang hari.

Ketua Eksekutifnya, Jeffrey Raj, berkata XBB.TV beroperasi menggunakan jalur lebar melalui protokol internet televisyen (TVIP) sebagai platform bagi menayangkan program-program pilihan menerusi internet.

“Pakar-pakar program kami akan memilih dan menapis beribu-ribu aliran atau estreami yang ada dalam internet dan diprogramkan ke dalam XBB.TV.

“Menerusi perkhidmatan XBB.TV, pelanggan boleh mendapat akses hampir 250 rangkaian televisyen dari seluruh dunia yang berselerak di dalam internet, sekaligus menjimatkan masa carian,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mensasarkan hanya 100,000 pelanggan bagi membolehkan XBB.TV memperoleh keuntungan operasi.

Raj berkata demikian pada majlis pelancaran perkhidmatan yang dirasmikan oleh Menteri Tenaga,Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik di Subang Jaya,awal tahun ini. Dalam ucapannya, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik turut memuji usaha anak tempatan ini yang akan membantu meningkatkan kadar penggunaan jalur lebar Negara. Menurut beliau, setakat akhir tahun lalu, penggunaan jalur lebar oleh rakyat Malaysia baru mencapai tiga peratus.

“Tahun ini kerajaan mensasarkan untuk meningkatkan kadar penggunaan jalur lebar kepada lima peratus menjelang 2006 dan 10 peratus menjelang 2008, tetapi dengan adanya saluran seperti XBB.TV yang memerlukan sokongan jalur lebar untuk tontonan lebih lancar, saya percaya Pelan Jalur Lebar Negara akan dapat dicapai malah melebihi apa yang kita sasarkan,” ujar Lim. Namun Lim berharap XBB.TV akan menepati segala garis panduan kerajaan berkenaan saluran-saluran yang ditawarkan dan ianya bersesuaian dengan budaya masyarakat setempat.

Pada majlis itu, Cuzzy turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan ICU.net Inc (ICU.net), syarikat penyedia perkhidmatan internet dari Amerika Syarikat (AS) dan Music of London Pte Ltd (MOL).