Nasihat Untuk Pemilik TV Internet
Utusan Malaysia Newspaper
20th January 2005

SUBANG JAYA 20 Jan. - Pemilik stesen televisyen Internet tempatan diingat jangan leka dengan siaran hiburan semata-mata untuk memburu keuntungan.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik berkata, mereka juga perlu mempunyai tanggungjawab sosial menerapkan nilai pendidikan dan maklumat pembangunan negara.

Menurutnya, ini penting kerana televisyen Internet boleh dilayari di seluruh dunia dan peluang itu wajar dimanfaatkan untuk mempromosikan negara.

Keng Yaik menyatakan demikian ketika berucap merasmikan pelancaran perkhidmatan stesen televisyen Internet pertama tempatan XBB.TV milik Cuzzy Advanced Convergence Laboratories Sdn. Bhd. di Hotel Sheraton Subang, di sini hari ini.

Operasi XBB.TV itu berpusat di Koridor Raya Multimedia (MSC) yang memulakan siaran sejak penghujung tahun lalu itu mendapat jalinan kerjasama dengan rakan pengendali Internet di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) bagi memperluaskan pasaran dunia.
Keng Yaik juga berharap XBB.TV mematuhi garis panduan penyiarannya agar tidak terbabas daripada nilai tempatan meskipun berusaha untuk mengejar pasaran dunia.

Katanya, kerajaan tidak membuat sebarang tapisan terhadap kandungan siaran dan ini bergantung kepada pertimbangan pemilik televisyen swasta untuk menentukan bahan siaran.

Lagipun katanya, pemilik stesen swasta telah diberi garis panduan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia di bawah peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Cuzzy Advanced Covergence Laboratories Sdn. Bhd., Jeffrey Paul Raj, Ketua Pegawai Eksekutif Cottage Software Inc. ICU.net, William B. Brunton dari AS dan Pengarah Urusan Music bagi London, Sean Mitchell dari UK.

Sementara itu, Paul Raj berkata, pihaknya akur kepada peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan kerana sedar stesen penyiaran juga mempunyai peranan untuk menjaga martabat negara.

Menurutnya, XBB.TV itu boleh dilayari oleh pengguna menerusi kaedah pembelian kad prabayar yang terdapat terutama di kedai elektronik, gedung beli belah, kedai 24 jam dan sebagainya.

“Pengguna boleh menonton pelbagai pilihan siaran kesukaan mereka menerusi XBB.TV ini seperti siaran stesen televisyen berbayar bukan Internet yang lain,” katanya.