Cuzzy Advanced Convergence Laboratories Sdn Bhd(Cuzzy), melancarkan XBB.TV iaitu perkhidmatan televisyen berbayar yang boleh ditonton menerusi internet.
Ketua Eksekutifnya, Jeffrey Raj, berkata XBB.TV yang berpotensi menggunakan protokol internet televisyen (TVIP) sebagai platform menayangkan program yang dipilih dalam internet.
“Syarikat memilih and menapis beribu-ribu aliran atau ‘stream’ yang ada dalam internet and diprogramkan ke dalam XBB.TV.
”Menerusi perkhidmatan XBB.TV, pelanggan boleh mendapat akses hampir 250 rangkaian televisyen dari seluruh dunia yang berselerak dalam internet, sekali gus menjimatkan masa carian,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya mensasarkan pelanggan berjumlah 100,000 bagi membolehkan XBB.TV memperoleh keuntungan operasi.
Raj berkata demikian pada majlis pelancaran perkhidmatan itu oleh Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik di Subang Jaya, semalam.
Pada Majlis itu, Cuzzy turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan ICU.net Inc. (ICU.net), syarikat penyedia perkhidmatan internet dari Amerika Syarikat (AS) dan Music for London Pte Ltd (MOL).
Kedua-dua syarikat itu akan memasarkan perkhidmatan XBB.TV di negara masing-masing.
Pada pemeteraian MoU itu, Raj mewakili Cuzzy, manakala ICU.net oleh Presidennya, William B. Brunton, manakala MOL oleh Pengurus Besarnya, Sean Mitchell.
Menyentuh rancangan masa depan syarikat, Raj berkata, selain memasukkan rancangan tempatan ke dalam XBB.tv, Cuzzy bercadang mempelbagaikan perkhidmatan yang boleh ditawarkan menerusi XBB.TV.
Katanya, jika segala perancangan berjalan dengan baik pihaknya bercadang menyenaraikan saham XBB.TV di Malaysia dan Amerika Syarikat pada masa depan.
Setakat ini, syarikat itu belum memaklumkan kepada Suruhanjaya Sekuriti mengenai cadangan pengapungan sahamnya di Pasaran Mesdaq.
Sementara itu, Lim dalam ucapannya berkata, kementeriannya berharap dengan adanya perkhidmatan XBB.TV akan dapat membantu mempercepatkan sasaran kerajaan mencapai tahap penggunaan jalur lebar sebanyak lima peratus menjelang 2006 dan 10 peratus pada 2008. |