
PUTRAJAYA: Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri akan memperkenalkan
kad identiti imigresen baru memudahkan pemantauan pergerakan
warga asing yang belajar atau bekerja di negara ini pada tahun
hadapan.
Bagi tujuan itu, semau warga asing dikehendaki mendapatkan
salah satu Kad Pekerja Asing, Kad Pekerja Asing (syarikat
penyumberan luar), Kad Pembantu Rumah, Kad Pelajar Asing,
Kad Pegawai Dagang atau Kad Malaysia My 2nd Home.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh
Ahmad, berkata pihaknya yakin kad itu sukar dipalsukan kerana
memiliki ciri-ciri keselamatan termasuk menyimpan data biometrik,
gambar dan maklumat pemegang serta menggunakan teknologi
cip Alat Pengenalan Frekuensi Radio (RFID).
“Kad identity baru ini juga mempunyai 17 ciri-ciri
keselamatan yang sukar ditiru seperti ‘ghost image’
bagi gambar, teks mikro, logo yang hanya boleh dilihat di
bawah cahaya ultra ungu, peta Malaysia pada lapisan atas
dan cetakan teks menggunakan laser.
“Sebagai permulaan, kad ini akan digunakan kira-kira
400,000 pelajar asing sebelum diperluas secara berperingkat
kepada kira-kira 1.8 juta warga asing,” katanya kepada
pemberita selepas melancarkan Sistem Kawalan Biometrik dan
Kad Identiti Imigresen Malaysia, di sini semalam.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Dalam
Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat; Ketua Pengarah Jabatan Imigresen,
Datuk Wahid Don: Pengerusi Percetakan Nasional Malaysia
Berhad, Tan Sri Clifford E Herbert dan Pengarah Urusan Multimedia
Glory Sdn Bhd, Lalitha Kaleedhass.
Radzi berkata, pelajar asing diminta menukar kad lama kepada
kad identiti baru Januari depan, manakala warga asing diberikan
kad baru sebaik memperbaharui permit kerja.
“Pengenalan kad pelajar asing mampu mengatasi masalah
kehilangan mereka sehingga 31 Oktober lalu, 1,271 pelajar
asing dikategorikan di institusi pendidikan masing-masing,”
katanya.
Beliau berkata, ketika ini kira-kira 1.8 juta pekerja asing
berada di Negara ini dan dianggarkan kira-kira 700,000 adalah
pendatang asing tanpa izin.
“Teknologi biometrik digunakan sebagai pilihan terbaik
bagi menangani isu pendatang tanpa izin dan pekerja asing
kerana meraka yang ditahan akan diambil biometrik serta
direkodkan setiap aktiviti sepanjang tahanan sehingga dihantar
pulang.
“Ketika ini data biometrik pekerja asing didaftarkan
di semua pintu masuk utama imigresen ketika mereka memasuki
negara dan data biometrik didaftar di negara sumber sumber
seperti Bangladesh melalui internet,” katanya.
|