| Cyberjaya 28 Jan. – Kerajaan akan membangunkan infrastruktur
sokongan dan sosial bagi meningkatkan lagi akses serta mewujudkan
persekitaran kondusif untuk menjalankan operasi perniagaan di bandar
ini.
Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, kemudahan
yang bakal dibangunkan itu adalah selaras dengan perkembangan global
dalam sektor teknologi, maklumat dan komunikasi (ICT) semasa.
Menurut beliau, ia juga sejajar dengan perancangan kerajaan sebelum
ini untuk menjadikan bandar pintar itu sebagai hub ICT terkemuka
di rantau ini.
“Seja Cyberjaya dibuka pada 1997, banyak pembangunan dilaksanakan
bersesuaian dengan perkembangan global dalam sektor ICT,”
katanya ketika berucap merasmikan kemudahan terbaru di bandar pintar
ini, Kelab Komuniti Taman Tasik Cyberjaya di sini, malam ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang juga Pengerusi
Cyberview Sdn. Bhd., Tan Sri Izzuddin Dali dan Pengaran Urusan Cyberview
Sdn Bhd, Redza Rafiq Abdul Razak.
Kelab Komuniti Taman Tarik Cyberjaya dibangunkan oleh Cyberview
Sdn Bhd pada kos RM23 juta dengan penyediaan kemudahan kolam renang,
tempat latihan golf, gimnasium, gelanggang badminton, tenis, skuasy,
bola keranjang, ping pong, futsal serta dewan serbaguna dengan kadar
bayaran berpatutan.
Kelab itu juga menawarkan aktiviti rekreasi tambahan melalui pelbagai
kemudahan serta perkhidmatan tambah nilainya dengan tujuan mempromosikan
gaya hidup sihat dan seimbang kepada komuniti tempatan serta antarabangsa
di Cyberjaya.
Nor Mohamed memberitahu, antara projek yang telah dilaksanakan
di sini ialah sistem pengangkutan cekap yang mula diperkenalkan
pada September tahun lalu.
“Perkhidmatan pengangkutan ini khusus bagi memenuhi keperluan
syarikat penyumberluaran yang beroperasi 24 jam dan kemudahan ini
boleh digunakan bagi laluan KL Sentral, Melawati, Kajang, Kepong,
Klang, Banting dan Seremban.
“Kita juga sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan Selangor
untuk mempercepatkan pelaksanaan beberapa projek lain seperti kediaman
mampu milik, sekolah antarabangsa dan kemudahan kesihatan,”
katanya. |